BTS Media

UMNO pecat Annuar Musa, dua pemimpin wanita

Oleh Zainal AS Rashid

UMNO mengesahkan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Annuar Musa antara tiga pemimpin parti yang dipecat semasa Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis.

Selain Annuar, dua lagi yang dipecat ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas Ketua UMNO bahagian itu, Shahidan Kasim serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Fatimah Kassim.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Maslan berkata pemecatan tersebut dibuat mengikut Fasal 10.6 Perlembagaan UMNO.

“UMNO mempunyai hak untuk melucutkan keahlian ahlinya, sekiranya mereka didapati melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO serta perkara mengenai tata etika ahli.

“Pemecatan Annuar, Shamsiah dan Fatimah berkuat kuasa serta-merta. Surat rasmi perlucutan keahlian akan dihantar hari ini,” katanya,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir Majlis Khatan Perdana di Masjid Kampung Jawa Ulu, di Pontian pada Jumaat.

Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Mohd Puad Zarkashi memberitahu media tentang pemecatan itu di selepas mesyuarat MKT UMNO di Kuala Lumpur.

Beliau, bagaimana pun enggan menamakan tiga pemimpin berkenaan yang dikatakan mencemuh parti dan berkempen untuk pihak lain ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Arau dan Maran daripada UMNO, Shahidan Kassim dan Ismail Abd Muttalib, digugurkan daripada senarai calon BN.

-BTS Media

Leave a Comment