Oleh Zainal AS Rashid
UMNO telah menggantung sementara seluruh jawatan dua Ketua Wanita Bahagian setelah didakwa terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Mereka ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datin Seri Shamsiah Yasin dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim.
Menurut setiausaha agung UMNO, Ahmad Maslan pada Ahad, tindakan diambil berikutan aduan berkenaan tingkah laku, sikap dan kecenderungan kedua-dua individu terbabit.
“UMNO ingin memaklumkan penggantungan sementara keseluruhan jawatan di peringkat Cawangan dan Bahagian dua Ketua Wanita UMNO Bahagian iaitu Datin Seri Shamsiah Yassin (Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau) dan Datin Seri Datuk Fatimah Kassim (Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran),” katanya.
Ahmad Maslan berkata butiran lanjut dan pertuduhan akan dibuat oleh Lembaga Disiplin dalam masa terdekat
“UMNO ingin menegas, pemantauan berterusan akan dilakukan terhadap ahli-ahli parti sepanjang tempoh kempen PRU15 ini bagi memastikan tiada unsur-unsur sabotaj dilakukan terhadap calon dan parti,” katanya.
Shamsiah adalah isteri kepada penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, manakala Fatima ialah isteri kepada penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.
Kedua-dua penyandang itu dipecat daripada UMNO selepas mengumumkan akan bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.
-BTS Media