BTS Media

Bukan 10 tapi 1,000 ahli UMNO ikut Annuar Musa sertai PAS

PRESIDEN Muafakat Nasional (MN) Annuar Musa mengesahkan menghantar borang permohonan menyertai PAS bulan lalu.

Bekas pemimpin Umno itu berkata beliau nekad memilih PAS ketika berada di Tanah Suci, selepas enam bulan tidak berparti.

“Saya sahkan saya buat permohonan tetapi terpulang kepada PAS untuk menerima atau tidak kerana saya bukan sesiapa pun dan telah dibuang oleh Umno.

“Dan saya nak betulkan, bukan saya dan 10 orang tetapi saya akan bawa lebih 1,000 ahli Umno bersama-sama saya untuk sertai PAS,” katanya pada sidang media pada majlis Aidilfitri MN semalam.

Lebih 1,000 ahli Umno itu terdiri daripada bekas ketua bahagian, timbalan ketua bahagian serta ketua pemuda bahagian dan cawangan, namun enggan mendedahkan nama mereka.

Pada Khamis lalu, Timbalan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan mendedahkan Annuar Musa termasuk lebih 10 bekas pimpinan Umno akan menyertai PAS, sementara bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula “menunjukkan minat” menyertai Bersatu.

Beliau yang juga setiausaha agung PAS berkata pengumuman penerimaan keahlian tokoh politik berkenaan dalam PAS dijangka dibuat penghujung bulan ini.

Ditanya mengapa memilih PAS bukannya Bersatu, Annuar berkata keputusan dibuat selepas beliau meneliti secara mendalam senario politik negara dan mendapati PAS diterima majoriti rakyat pada PRU15.

“Saya pilih PAS tanpa rasa ragu dan syak, tanpa disuruh oleh sesiapa pun. Saya belum jumpa mana-mana pemimpin PAS, saya buat permohonan ketika saya berada di Tanah Suci Mekah, dari hati yang ikhlas.

“Saya fikir dengan panjang untuk elakkan amarah, emosi dan dendam.

“Saya tak mungkin kembali kepada Umno kerana Umno sekarang sudah rosak secara total dari segi asas perjuangan, dan pilihan yang ada pada saya adalah PAS yang mendapat dukungan majoriti rakyat Malaysia,” tegasnya.

Mengulas kenyataan Takiyuddin beliau berkemungkinan menjadi calon pada PRN akan datang, Annuar berkata beliau tidak menyasarkan sebarang kerusi dan menyerahkan segala keputusan kepada pimpinan parti yang disertainya.

“Bukan hak kita untuk jadi calon, itu hak parti. Matlamat saya masuk parti bukan jadi calon melainkan kalau parti memilih dan kita reda.”

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/05/20/annuar-musa-sah-mohon-sertai-pas/

Leave a Comment