BTS Media

Dr Dzulkefly kepada pengundi Kuala Selangor: Pilih mundur bererti izin ‘gerombolan’ sarat rasuah kembali memerintah

PENYANDANG Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerusi itu perlu kekal milik Pakatan Harapan (PH) walaupun Barisan Nasional (BN) meletakkan Menteri Kewangan sementara, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk cuba merebutnya.

“Saya terpanggil memenuhi permintaan sebahagian pengundi Kuala Selangor dan mentaati arahan pimpinan tertinggi parti PH untuk pertahankan kerusi Parlimen Kuala Selangor,” katanya melalui Facebook pada Rabu.

Beliau berikrar ‘memperhambakan’ diri, menyantuni dan membela rakyat tanpa prejudis atau diskriminasi kepada penduduk kawasan Kuala Selangor dan memastikan pembangunan di situ diteruskan.

Dr Dzulkefly akan mengeluarkan laporan kerja beliau sepanjang menjadi Ahli Parlimen di kawasan itu pada masa kempen nanti.

Bagi beliau, PRU15 akan menentukan sama ada negara bergerak ke hadapan atau terus  mundur.

“Mara ke hadapan bermaksud kerajaan kompeten yang banteras amalan rasuah dan salah-guna kuasa bagi membangun ekonomi mapan serta berdaya-saing dan mengeratkan hubungan antara kaum, agama dan budaya serta menstabilkan politik negara.

“Mundur bererti mengizinkan ‘gerombolan’ yang sarat dengan pelbagai tabiat rasuah dan salah-guna kuasa kembali memerintah secara dominan,” ujar beliau.

Sehubungan itu, katanya, besar harapan beliau untuk memastikan majoriti rakyat sudah bersedia untuk maju ke hadapan.

“Semoga ALLAH membimbing kita untuk bersama-sama melaksanakan agenda perubahan ke arah Malaysia yang lebih bersih dan cemerlang,” jelasnya.

Dr Dzulkefly yang juga bekas Menteri Kesihatan akan berdepan dengan Tengku Zafrul dari BN, manakala Perikanan Nasional pula diwakili calon PAS, Muhammad Rashid Mohd Kassim dan calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jeram, Mohd Shaid Rosli.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon 5 November dan pengundian awal pada 15 November.

-BTS Media

Leave a Comment