BTS Media

UMNO Kuala Selangor janganlah takut bayang-bayang

 

Oleh Ahmad Abd Hamid

Tidak disangka rupanya takut sungguh UMNO Bahagian Kuala Selangor dengan Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerana bimbang beliau bakal ‘merampas’ kerusi kawasan parlimen itu daripada UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.

Andaian ini dibuat kerana Tengku Zafrul dikatakan kini aktif mengadakan program di kawasan tersebut yang disiftakan sebagai gerak kerja menonjolkan diri mendekatkan diri dengan pengundi kawasan tersebut.

Kerana kebimbangan ini, Ketua UMNO Kuala Selangor, Jahaya Ibrahim, menolak kehadiran Zafrul di Kuala Selangor dalam mana-mana program di kawasan yang kini diwakili oleh Dr. Dzulkefly Ahmad daripada parti Amanah. Beliau menang dalam PRU-14 dengan majoriti 8,000 undi.

Jahaya juga mengaku mengeluarkan surat arahan kepada semua kepimpinan parti peringkat bahagian untuk tidak terlibat dengan sebarang program dan majlis melibatkan Zafrul. Beliau menyifatkan perbuatan Zafrul itu sebagai merosakkan jentera parlimen Kuala Selangor.

Beliau juga dilaporkan memuat naik beberapa program melibatkan Zafrul di Kuala Selangor, termasuk membabitkan golongan belia dalam satu program menonton perlawanan bola sepak.

Zafrul dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Noh Omar, turut menghadiri majlis makan malam dengan NGO China dan India di Kuala Selangor.

Khabarnya di pihak Menteri Kewangan itu belum memberi apa-apa reaksi setakat ini. Malah sebenarnya program yang beliau adakan di Kuala Selangor juga bukan bermakna beliau berkempen untuk bertanding di kawasan berkenaan. Namun penilaian orang UMNO mungkin lain.

Zafrul juga tidak menganggotai mana-mana parti. Dakwaan beliau akan bertanding di Kuala Selangor ialah kononnya dengan menyertai UMNO dan bertanding atas tiket parti itu.

Beliau sebelum ini pernah menegaskan tiada masa berfikir untuk bertanding dalam PRU-15 atau tidak ketika namanya dikaitkan dengan parlimen Lembah Pantai dan Kuala Pilah.

Barangkali kehadiran Noh Omar dalam program Zafrul merisaukan Jahaya kerana Noh ialah Ketua Perhubungan UMNO Selangor. Kerana itu awal-awal Jahaya mengeluarkan arahan tidak melayan Zafrul yang mungkin dianggap boleh menggugat peluangnya menjadi calon PRU-15.

Tarikh PRU-15 belum diketahui. Siapa yang bakal menjadi calon juga masih belum dalam perkiraan. Tetapi, gejala takut kepada bayang-bayang sudah mulai menghantui UMNO Kuala Selangor, terutama pucuk pimpinan bahagian.

Pada mereka, siapa juga orang luar yang cuba menerjah Kuala Selangor dipandang dengan penuh cemburu dan syak wasangka. Orang luar dianggap sebagai mengacau dan merosakkan jentera pilihan raya bahagian itu.

Perbuatan ini juga boleh dianggap menakut-nakutkan ahli UMNO Kuala Selangor

Perbuatan ini juga boleh dianggap menakut-nakutkan ahli UMNO Kuala Selangor dan menanam rasa benci kepada menteri kewangan. Ini tidak wajar kerana Zafrul adalah anggota kabinet dan beliau harus diberi penghormatan sewajarnya ketika mengadakan program tertentu.

Tidak perlulah mengungkit beliau dilantik oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke jawatan sekarang. Tidak perlu juga mempersenda, jika beliau bertanding atas tiket UMNO, kelak beliau akan melompat masuk Bersatu. Ini jelas pandangan tidak berasas dan kebudak-budakan.

Mungkin ahli UMNO Kuala Selangor akur dengan surat arahan Jahaya. Tetapi dapatkah dipastikan adakah mereka secara keseluruhannya setuju dengan tindakannya? Mungkin ramai membantah tetapi memilih untuk berdiam diri.

Jika UMNO Kuala Selangor merasakan ia kuat dan kukuh, dan pemimpinnya juga hebat, maka ia tidak harus bimbang kedudukan tergugat. Pucuk pimpinan parti di peringkat pusat sudah tentu akan memberi pertimbangan teliti untuk memilih mana-mana individu daripada bahagian menjadi calon pilihan raya.

Tetapi jika menyerlahkan kebimbangan terlalu awal sehingga memulaukan anggota kabinet, ia hanya menyerlahkan mentaliti ‘tidak yakin ’ (insecure) dalam diri dan bahawa bahagian mempunyai kelemahan. Kerana itu apa juga yang datang, walau bertujuan baik, dianggap sebagai ancaman.

Kepada UMNO Bahagian Kuala Selangor buanglah syak wasangka, tanamkan sifat positif. Sikap yang ditunjukkan oleh bahagian itu sebenarnya yang boleh menggugat UMNO.

Janganlah terlalu taksub hendak menjadi calon sehingga dilihat mendinding diri dalam kota kukuh menahan serangan luar. Menjadi calon adalah ketentuan dan izin Allah. Buatlah apa pun, jika rezeki seseorang tertentu menjadi calon, maka dia akan jadi calon. Jika bukan rezeki, buatlah apa pun Allah tidak akan perkenan.

-BTS Media

Leave a Comment