Oleh Zainal A. Rashid
GELOMBANG kejutan melanda UMNO Selangor susulan tersebar berita Tan Sri Noh Omar dipecat.
Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang dan Ketua UMNO Selangor itu, yang digugurkan dalam pilihan raya umum baru-baru ini, dikatakan amat berpengaruh di negeri itu dan mempunyai asas sokongan kuat.
Ketika dihubungi, kebanyakan pemimpin UMNO Selangor didapati teragak-agak untuk mengulas walaupun kebanyakan mereka adalah seperjuangan Noh, lapor The Star.
Antara yang enggan mengulas, ADUN Sungai Burung empat penggal Datuk Samsuddin Lias, tetapi sekadar berkata beliau akan “kunci mulut” berhubung perkara itu.
“Ia adalah keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti dan kita perlu mematuhinya,” kata Azhari.
Salah seorang pembantu Noh, yang enggan namanya didedahkan, berkata terdapat banyak kesedihan dalam kalangan pembantu dan penyokong ahli politik veteran itu, tetapi mereka tidak mahu bercakap banyak kerana takut akibatnya.
“Lebih baik jangan banyak cakap atau lebih baik, jangan cakap apa-apa,” tambahnya.
Bekas Ketua UMNO Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata mesti ada bukti kukuh yang menyokong keputusan kepimpinan parti untuk menggantung keahlian Noh.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor berkata, jika penggantungan itu kerana kritikan terhadap kepimpinan parti, maka ia (penggantungan) tidak adil.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Jamal Yunos pula mendakwa memandangkan keputusan itu dibuat oleh majlis tertinggi parti, ia mewakili parti secara keseluruhannya.
-BTS Media