BTS Media

Bank digital: Saifuddin bidas kerajaan kerana pilih hanya satu syarikat Bumiputera

GAMBAR ATAS: Mphathi2009, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Saifuddin Nasution Ismail membidas kerajaan kerana hanya satu syarikat Bumiputera daripada lima pemohon yang berjaya mendapat lesen operasi bank digital.

Melalui satu post di Facebook beliau yang merupakan setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata banyak lagi syarikat Bumiputera layak dianugerahkan lesen berkenaan.

Semalam (29 April), Bank Negara Malaysia (BNM) berkata tiga konsortium, iaitu Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Berhad; GXS Bank dan Kuok Brothers; dan SEA dan YTL Digital Capital akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Sementara itu, sebuah konsortium yang terdiri daripada AEON Financial Service, AEON Credit Service Berhad dan MoneyLion Inc, serta yang diketuai oleh KAF Investment Bank akan dilesenkan di bawah Perkhidmatan Kewangan Islam Akta 2013.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata bank digital yang dipilih oleh kementerian kewangan akan memperluaskan lagi rangkuman perbankan dan perkhidmatan kewangan kepada masyarakat.

Bagaimana pihak yang dipilih dapat membantu rakyat yang berniaga di pasar malam dan gerai makanan di serata negara.

Saifuddin bertanya bagaimana pihak-pihak yang dipilih akan dapat membantu rakyat yang berniaga di pasar malam dan gerai makanan di serata negara.

Juga dipersoalkan mengapa di antara konsortium itu ada yang berpangkalan di Singapura dan disenaraikan di pasaran saham Amerika Syarikat, tapi masih dipilih untuk mendapat lesen menjalankan operasi di negara ini.

Menurut Saifuddin, bank digital di negara ini sepatutnya memainkan peranan yang sama seperti Grameen Bank dan Amanah Ikhtiar Malaysia dalam usaha membantu golongan rakyat yang tersisih daripada arus perkhidmatan perbankan.

Grameen Bank di Bangladesh yang diasaskan oleh pemenang Hadiah Nobel Keamanan Muhammad Yunus menyediakan pembiayaan mikro kepada masyarakat miskin di negara itu tanpa sebarang cagaran.

Amanah Ikhtiar ditubuhkan pada 1987 dengan matlamat mengurangkan kemiskinan dalam kalangan golongan berpendapatan rendah melalui penyediaan pembiayaan kredit mikro.

-BTS Media

Leave a Comment