IPOH: Seorang pemandu treler berusia 32 tahun maut selepas kenderaannya melanggar bahagian belakang sebuah lagi treler, dan kemudian terbabas kira-kira 100 meter ke sebelah kiri sebelum merempuh sebuah rumah di KM47 jalan Ipoh-Lumut.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Hafezul Helmi Hamzah, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 11.15 malam Sabtu (16 Nov).
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu treler mengangkut simen dari arah Seri Iskandar ke Gelung Pepuyu hilang kawalan lalu merempuh sebuah lagi treler membawa kertas kitar semula yang diletakkan di tepi jalan.
“Treler kedua kemudian bertembung dengan sebuah lagi kereta yang turut diletakkan di tepi jalan.
“Akibat pelanggaran itu, treler yang membawa simen terbabas ke hadapan kira-kira 100 meter dan merempuh garaj sebuah rumah yang terletak di sebelah kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada hari Ahad (17 Nov).
Supt Hafezul menambah, walaupun jalan dalam keadaan basah, keadaan cuaca baik, namun tiada lampu jalan di kawasan tempat kemalangan itu berlaku. Beliau juga berkata tiada kamera CCTV dipasang di kawasan sekitar.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemeriksaan bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan polytrauma akibat kemalangan kenderaan bermotor.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sesiapa yang mempunyai maklumat digesa menghubungi pegawai penyiasat Inspektor M. Maheswaran di talian 010-7005051 atau balai polis berhampiran.
-BTS Media