BTS Media

Operasi perangkap harimau berakhir dengan penangkapan 11 ekor gajah di Gerik

OPERASI memasang perangkap yang pada asalnya dilancarkan susulan laporan serangan harimau di Kampung Bongor di Gerik bertukar hasil apabila pihak berkuasa berjaya menangkap 11 ekor gajah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bongor, Mohamad Ghazali Salleh, berkata gajah-gajah tersebut dikesan pada malam hari Khamis ketika penduduk kampung bersama pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sedang memasang kamera perangkap di sebuah ladang getah, lapor NST.

Menurut beliau, kamera perangkap dipasang selepas penduduk mengadu mengenai serangan seekor harimau terhadap lembu kira-kira seminggu lalu, dan juga di kelihatan pada hari Rabu.

Tiga ekor gajah pada mulanya dikesan merosakkan tanaman pisang di kawasan ladang getah sebelum pegawai Perhilitan mengambil tindakan menenangkan dan menangkap haiwan tersebut pada malam yang sama.

Mohamad Ghazali berkata tiga ekor gajah berjaya ditangkap pada malam kejadian dan jumlah meningkat kepada 11 ekor sehingga semalam. Beliau berkata pihak Perhilitan memaklumkan masih terdapat seekor lagi gajah yang belum dapat ditangkap.

Kumpulan gajah itu dipercayai berasal dari Hutan Simpan Amanjaya dan merupakan antara gajah yang sering berkeliaran berhampiran Batu 11 di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat.

Menurutnya, kejadian gajah memasuki kampung bukanlah sesuatu yang baharu, namun jumlah yang dikesan kali ini merupakan yang terbesar pernah direkodkan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa membina pagar elektrik bagi mengelakkan pencerobohan gajah pada masa hadapan. Katanya, kedudukan kampung berhampiran kawasan hutan simpan menyebabkan gajah sering memasuki kawasan penempatan terutama ketika musim buah seperti yang sedang berlaku ketika ini.

Beliau berkata semua gajah yang ditangkap akan dipindahkan ke Terengganu dalam satu operasi yang dijangka mengambil masa selama seminggu bermula hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Ghazali berkata kehadiran gajah dan harimau di kampung berkenaan bukan sahaja menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk, malah turut memberi kesan kepada sektor pelancongan. Menurutnya, Kampung Bongor merupakan lokasi persinggahan popular bagi pendaki Bukit Bongor serta pengunjung yang ingin melihat bunga rafflesia di kawasan hutan berhampiran.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Mohd Taufik Abdul Rahman, mengesahkan bahawa 10 ekor gajah telah ditangkap di Kampung Bongor manakala seekor lagi ditangkap di Kampung Tanjung Rimbun.

-BTSMedia.my

Leave a Comment