BTS Media

Kehadiran gajah di Lebuhraya Timur-Barat Gerik-Jeli bertambah kerana habitat semakin mengecil

PERTEMBUNGAN gajah dengan manusia di sepanjang lebuh raya Gerik-Jeli Timur-Barat kini semakin kerap berlaku.

Ini kerana haiwan tersebut sering kali sesat hingga ke jalan raya apabila merentas habitat mereka yang semakin mengecil.

Lebuh raya membelah koridor kawasan ekologi Central Forest Spine (CFS) itu, yang telah lama menyaksikan pertembungan manusia dengan gakah, menimbulkan kebimbangan keselamatan bagi pemandu dan juga hidupan liar.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkata lebuh raya itu, terutama di sekitar kawasan rehat (R&R) Banjaran Titiwangsa, kerap berlaku pertembungan manusia dengan gajah, terutama pada musim perayaan apabila kadar lalu lintas meningkat.

Menurut Perhilitan, Hulu Perak dan Sungai Siput adalah antara daerah yang terjejas akibat pertembungan manusia dengan gajah.

“Menurut tinjauan, terdapat antara 100 dan 120 gajah daripada enam kumpulan yang kerap memasuki ladang pertanian dan kampung, khususnya penempatan Orang Asli. Ini termasuk Kampung Banun, Pos Kemar, RKT Bersia, Kampung Bendariang, serta ladang milik Felda seperti Felda Tawai,” kata Perhilitan, lapor NST.

Pada 18 Januari, satu video tular di media sosial menunjukkan sebuah Perodua Bezza dikelilingi sekumpulan gajah di lebuh raya.

Perhilitan mengesahkan tidak menerima sebarang laporan daripada pemilik kenderaan atau polis berhubung kejadian itu, dan tiada sebarang tuntutan kerosakan dibuat kepada jabatan tersebut.

Kejadian berlaku berhampiran tapak Santuari Gajah Perak yang akan diwujudkan sebagai inisiatif bertujuan untuk menangani pertembungan manusia dengan gajah.

“Jabatan telah mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan keselamatan di sepanjang lebuh raya, termasuk memasang papan tanda lintasan hidupan liar di 17 lokasi dan lampu jalan di 16 titik panas dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya.

“Tahun ini, tujuh lokasi tambahan telah diperuntukkan untuk papan tanda amaran, dengan lapan lagi ditetapkan untuk lampu jalan baharu.”

Sementara itu, sehari selepas kejadian Perodua Bezza, seorang lagi pengguna jalan raya berkongsi pengalaman perjalanannya dari Gerik ke Titiwangsa yang tertangguh selama sejam berikutan sekumpulan gajah sedang makan di tepi jalan.

Kejadian yang dikongsi dalam TikTok itu berlaku di kawasan Tasik Temenggor pada waktu petang.

Pengguna itu berkata dia dan suaminya bertemu gajah sebanyak tiga kali dalam perjalanan yang sama.

Perhilitan berkata semasa sambutan Tahun Baharu Cina, jabatan itu telah meningkatkan usaha pemantauan di sepanjang lebuh raya, mengerahkan kakitangan dari pejabat daerah Gerik untuk mengesan pergerakan gajah.

“Gajah boleh ditemui dalam jarak 100km jalan berliku, tetapi titik panas utama telah dikenal pasti untuk pengawasan.

“Perhilitan juga akan meningkatkan kesedaran pengguna lebuh raya dan peniaga di R&R Banjaran Titiwangsa, bagi maklumkan tentang kehadiran gajah dan cara mengurangkan risiko.”

-BTS Media

Leave a Comment