BTS Media

Penggunaan e-skuter mungkin perlu lesen

GAMBAR ATAS: Aziz A. Shariff

 

Oleh Zainal AS Rashid

Peraturan kecil penggunaan skuter e-skuter akan diputuskan, termasuk pelaksanaan syarat keperluan lesen bagi pengguna dan pembekal kenderaan itu, kata Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong.

“Tidak lama lagi, kita akan keluarkan kaedah atau undang-undang kecil untuk dipatuhi, (contohnya) untuk kelajuan tertentu, mereka perlu mempunyai lesen,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena Sambutan Hari Raya 2022 di Putrajaya semalam (Isnin 18 April).

Beliau berkata, memandangkan penggunaan e-skuter semakin popular dalam kalangan masyarakat penyelesaian kini perlu diusahakan bagi mengelak pengguna terdedah kepada risiko nahas memandangkan kelajuannya seperti motosikal.

Menurut Wee, penggunaan kenderaan elektrik termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) (Pindaan) 2020 berdasarkan aspek kenderaan mikro mobiliti yang mempunyai peraturan kecil mengenai spesifikasi berkaitan.

Beliau berkata, kenderaan mikro mobiliti banyak menggunakan nama berbeza, justeru ia memerlukan satu definisi jelas yang akan dibuat melalui peraturan kecil itu.

Di bawah Akta 333, takrif kenderaan mikro mobiliti merujuk kepada kenderaan pacuan elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia atau gabungan kedua-duanya, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia, serta mempunyai kelajuan maksimum 50 kilometer sejam.

-BTS Media

Leave a Comment