PAS memutuskan untuk mengekalkan Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang di Parlimen selepas kononnya mengambil kira pandangan ahli Parlimen parti itu serta wakil rakyat daripada blok pembangkang yang lain.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mendakwa bahawa keputusan tersebut dibuat hasil perbincangan dan maklum balas daripada ahli-ahli Parlimen pembangkang, bukan berdasarkan pendirian PAS semata-mata.
Menurut beliau, PAS tidak bersetuju untuk tergesa-gesa membuat perubahan terhadap jawatan ketua pembangkang walaupun terdapat desakan supaya pelantikan baharu dibuat dengan segera.
Beliau berkata, selepas meneliti pandangan yang diterima daripada ahli-ahli Parlimen, PAS mengambil keputusan untuk terus menyokong Hamzah menerajui blok pembangkang di Dewan Rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi turut memaklumkan bahawa Perikatan Nasional (PN) akan mengekalkan kepimpinan sedia ada, termasuk mengekalkan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi gabungan itu.
Sementara itu, beliau mendakwa beberapa tokoh politik dan masyarakat dijangka menyertai PAS dalam satu pengumuman di Negeri Sembilan pada malam ini.
Menurutnya, individu terbabit terdiri daripada bekas menteri, bekas exco, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil kesatuan pekerja, dan penyertaan mereka dijangka memberi suntikan baharu kepada usaha parti itu.
Sebelum ini, PAS memaklumkan bahawa seorang wakil daripada parti berkenaan akan dipilih sebagai ketua pembangkang baharu susulan pemecatan Hamzah daripada Bersatu.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu menyaksikan lebih 60 ahli Parlimen pembangkang dilaporkan menyatakan sokongan agar Ahli Parlimen Larut itu terus memegang jawatan ketua pembangkang, sekali gus memberikan majoriti sokongan dalam kalangan blok pembangkang.
-BTSMedia.my



