TINDAKAN Hamzah Zainudin yang masih memegang jawatan Ketua Pembangkang selepas dipecat daripada BERSATU disifatkan sebagai tidak wajar jika seseorang itu masih mempunyai maruah dan rasa malu.
Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz berkata Hamzah sepatutnya telah lama melepaskan jawatan tersebut kerana kedudukan itu sebelum ini diperoleh atas kedudukan beliau sebagai Setiausaha Agung BERSATU, Ahli Parlimen parti berkenaan serta wakil blok pembangkang Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, selepas tidak lagi menjadi ahli parti, Hamzah tidak wajar terus “bertenggek” pada jawatan tersebut jika masih mempunyai maruah dan rasa malu.
Beliau menjelaskan bahawa Hamzah kini hanyalah Ahli Parlimen tidak berparti atau Ahli Bebas di Dewan Rakyat dan secara prinsipnya seorang Ahli Parlimen Bebas tidak sepatutnya memegang jawatan strategik yang diperoleh melalui parti politik.
Tun Faisal berkata prinsip di bawah Akta Anti Lompat Parti 2022 menetapkan bahawa Ahli Parlimen yang tidak lagi menjadi ahli parti yang diwakilinya ketika pilihan raya tidak boleh lagi dianggap mewakili parti tersebut dan sewajarnya ditempatkan di blok Bebas.
Beliau juga berpandangan bahawa jawatan Ketua Pembangkang sepatutnya dipegang oleh Ahli Parlimen yang mempunyai mandat jelas daripada gabungan parti terbesar dalam blok pembangkang, iaitu PN.
Menurutnya, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut kini hanya berstatus Ahli Parlimen tidak berparti bersama lima lagi Ahli Parlimen lain yang turut dipecat daripada BERSATU iaitu Fathul Huzir Ayob (Gerik), Kapten (B) Azahari Hasan (Padang Rengas), Wan Saiful Wan Jan (Tasik Gelugor), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) serta Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota).
Tun Faisal berkata baki Ahli Parlimen lain masih merupakan Ahli Parlimen BERSATU dan PN yang sah serta kekal tertakluk kepada arahan dan keputusan dasar parti.
Beliau berkata keputusan dasar BERSATU dan PN menetapkan bahawa jawatan Ketua Pembangkang perlu dipegang oleh Ahli Parlimen daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
-BTSMedia.my



