DALAM keadaan ekonomi semasa, semakin rama pengamal perubatan am (GP) muda menghadapi kesukaran menampung kos sara hidup walaupun profesion itu sering dianggap berpendapatan lumayan, sehingga terpaksa melakukan kerja sampingan seperti memandu e-hailing.
Keadaan itu dikatakan lebih membimbangkan apabila ada dalam kalangan mereka yang terpaksa membuat pinjaman peribadi bagi memastikan operasi klinik dapat diteruskan, lapor Berita Harian.
Seorang doktor yang hanya mahu dikenali sebagai Luqman, 33, berkata klinik yang dibukanya pada tahun 2022 ada kalanya merekodkan pendapatan bersih negatif susulan pelbagai kos yang perlu ditanggung setiap hujung bulan.
Dia berkata GP terpaksa berdepan kenaikan harga ubat setiap tahun selain pelaksanaan gaji minimum baharu yang menambah beban kewangan.
Luqman menjelaskan bahawa dia meninggalkan sektor kesihatan awam pada tahun 2022 kerana merasakan kerjayanya dengan kementerian tidak terjamin selain beban kerja yang tinggi, sebelum mengambil keputusan membuka klinik sendiri di Sepang.
Dia turut menyatakan bahawa kliniknya kini masih berada dalam fasa mencabar dan sedang mencari kaedah terbaik untuk bertahan berikutan peningkatan kos saban tahun, manakala pendapatan pula menurun.
Menurutnya, ada ketika pendapatan menjadi negatif dan beliau memerlukan antara RM35,000 hingga RM40,000 sebulan, yang bermaksud perlu mendapatkan sekitar 10 hingga 15 pesakit sehari.
Dia juga terpaksa mengambil pinjaman peribadi bagi menampung kos operasi selain berdepan kenaikan harga ubat dan pelaksanaan gaji minimum.
Dalam masa sama, dia tidak terkecuali melakukan kerja sampingan termasuk memandu kenderaan e-hailing serta bekerja sebagai doktor locum di klinik lain bagi menambah pendapatan.
Mengenai perancangan masa depan, beliau tidak menolak kemungkinan menukar kerjaya sekiranya keadaan tidak berubah.
Menurutnya, antara pelan alternatif adalah menceburi bidang insurans atau jualan.
Dia turut berpandangan bahawa tanpa campur tangan kerajaan untuk memperkasa klinik swasta, dia mungkin memerlukan pelan keluar daripa kariernya.
Pada masa sama, dia menegaskan bahawa GP bukan beroperasi semata-mata untuk keuntungan danjuga bukan doktor kelas kedua, sebaliknya merupakan tulang belakang yang bersedia membantu serta memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan.
Seorang lagi GP yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Jay Chay berkata dia meninggalkan perkhidmatan kerajaan pada bulan Jun tahun lalu kerana kekurangan keseimbangan kerja dan kehidupan.
Dia kemudian mengadakan usaha sama dengan sebuah syarikat untuk membuka klinik swasta di Sepang, Selangor dengan pegangan sebanyak 49 peratus.
Namun, dia masih bergelut untuk mencapai sasaran pendapatan kliniknya kerana kebanyakan pesakit lebih cenderung membeli ubat sendiri.
Menurutnya, pendapatan klinik lazimnya hanya mampu menampung kira-kira 60 peratus daripada kos operasi.
Dia turut berdepan masalah apabila ramai pesakit yang datang membawa ubat yang dibeli melalui media sosial tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan.
-BTSMedia.my



