PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump dan isterinya, Melanie, diasak keluar daripada dewan dalam keadaan terkejut selepas kedengaran letupan sewaktu majlis makan malam Persatuan Wartawan White House.
Kejadian berlaku ketika acara tahunan itu sedang berlangsung di sebuah hotel di Washington, apabila bunyi tembakan mencetuskan suasana panik dalam kalangan tetamu.
Ejen Secret Service bertindak pantas meluru ke arah Trump, dan mengiringinya keluar dari lokasi, manakala para hadirin dilihat berlindung di bawah meja bagi mengelakkan sebarang risiko.
Menurut pihak berkuasa, seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan berhampiran kawasan pemeriksaan keselamatan sebelum berjaya ditahan. Seorang ejen keselamatan dilaporkan terkena tembakan pada vest kalis peluru, namun tidak mengalami kecederaan serius.
Kira-kira 2,600 tetamu, termasuk pegawai kerajaan dan pengamal media, berada di lokasi ketika kejadian itu berlaku, sekali gus menyebabkan kekecohan apabila ramai cuba menyelamatkan diri.
Pihak Secret Service mengesahkan bahawa semua individu di bawah perlindungan mereka, termasuk presiden dan anggota pentadbiran tertinggi, berada dalam keadaan selamat.
Majlis makan malam tersebut akhirnya dibatalkan dan dijangka dijadualkan semula pada tarikh lain, sementara siasatan lanjut terhadap kejadian itu sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
 – BTSMedia.my



