BEKAS presiden Amerika Syarikat Donald Trump mendakwa dia ditembak di bahagian telinga semasa perhimpunan hari Sabtu di bandar Butler, Pennsylvania, tetapi tidak mengalami kecederaan serius.
Dalam kejadian itu, seorang terbunuh dan dua lagi cedera terkena tembakan.
Penembak tepat Secret Service (agen perkhidmatan rahsia AS) berjaya membunuh seorang lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan ke arah orang ramai dari luar kawasan. Identitinya setakat laporan ini dibuat, belum dipastikan.
Pada kira-kira pukul 6 petang EDT waktu Pennsylvania, ketika Trump berada di atas pentas selama kira-kira 15 minit, kedengaran tujuh atau lapan letupan kecil seakan tembakan di kawasan itu.
Trump kelihatan jatuh ke lantai podium, sebelum beberapa agen keselamatan menerpa dan melindungi bekas presiden AS itu dengan tubuh mereka.
Dia kemudian segera dipapah dari pentas dengan darah kelihatan mengalir di bahagian telinga kanan dan pipi.
Satu post di akaun Truth Social Trump memetik Trump berkata “saya ditembak dengan peluru yang menembusi bahagian atas telinga kanan.”
“Saya segera menyedari bahawa ada sesuatu yang tidak kena kerana saya mendengar bunyi berdesing, tembakan, dan serta-merta merasakan peluru menembusi kulit,” tambahnya dalam post itu.
Akhbar British, The Independent memetik seorang agen keselamatan berkata, tembakan itu dianggap sebagai cubaan membunuh.
Menurut sumber, agensi penguatkuasaan undang-undang pada masa ini sedang “meneliti sebanyak mungkin gambar dan video yang dirakam sewaktu kejadian, dan akan cuba menjalankan pengesanan DNA lelaki yang dibunuh bagi mengesahkan identitinya melalui biometrik.
Setakat ini mereka masih belum mengesahkan motif atau identitinya.
-BTS Media