BTS Media

Suspek ditahan selepas gagal cubaan bunuh naib presiden Argentina

GAMBAR ATAS: Satu frame daripada video yang dikeluarkan oleh TN Argentina menyoroti detik ketika seorang lelaki mengacukan senjata ke arah Naib Presiden Argentina Cristina Fernandez de Kirchner.

 

SEORANG lelaki ditahan selepas cuba menembak naib presiden Argentina dan bekas Presiden Cristina Fernández de Kirchner di luar rumahnya di Buenos Aires pada Khamis.

Video kejadian itu menunjukkan naib presiden tersenyum ketika dia berjalan sambil dikerumuni orang ramai.

Seorang lelaki tiba-tiba meluru ke depan dan mengacukan pistol ke muka Fernández de Kirchner dan seterusnya dilihat seolah-olah cuba melepaskan tembakan.

Tiada tembakan dilepaskan dan bekas presiden dua kali itu tersentak ke belakang, tetapi tidak mengalami kecederaan.

Penyerang ditahan selepas beberapa saat berlaku kekeliruan dan panik.

Menurut agensi berita rasmi Argentina, Télam,  lelaki yang dikenal pasti sebagai warga Brazil itu telah menukar namanya kepada Fernando Andre Sabag Montiel, lapor CNN.

Kementerian Keselamatan Argentina mengesahkan bahawa senjata yang digunakan dalam kejadian itu adalah pistol jenis .380 dengan peluru di dalamnya.

Presiden Argentina Alberto Fernández dalam ucapan melalui televisyen petang Khamis berkata cubaan membunuh itu adalah serangan terhadap sistem demokrasi.

Beliau mengisytiharkan Jumaat sebagai cuti kebangsaan untuk negara itu berhimpun dan bersolidariti menyokong Fernández de Kirchner.

Cristina Fernández de Kirchner yang merupakan antara tokoh politik paling terkemuka di Argentina, pernah berkhidmat sebagai presiden dari 2007 hingga 2015, sebelum memegang jawatan sebagai naib presiden pada 2019.

Sejak beberapa hari kebelakangan, penyokongnya telah mengadakan perhimpunan di luar rumahnya sebagai reaksi kepada perbicaraan yang sedang berjalan di mana dia dituduh melakukan rasuah sepanjang penggalnya sebagai Presiden.

Minggu lepas, seorang pendakwa raya persekutuan meminta supaya  Fernández de Kirchner menjalani hukuman penjara 12 tahun. Mahkamah masih belum memutuskan permintaan itu.

-BTS Media

Leave a Comment