GAMBAR ATAS: Casa Rosada (Argentina Presidency of the Nation), CC BY-SA 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/2.0>, via Wikimedia Commons
BUENOS AIRES – Mahkamah Persekutuan di Argentina menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas Naib Presiden, Cristina Fernandez de Kirchner pada Selasa dan melarangnya memegang jawatan awam.
Panel tiga hakim mendapati Fernandez de Kirchner bersalah melakukan penipuan berhubung pemberian kontrak kerja awam di wilayah selatan Santa Cruz, lapor Agensi Anadolu (AA).
Hakim Jorge Gorini membacakan keputusan itu melalui sidang video yang turut dihadiri dua hakim lain, Rodrigo Gimenez Uriburu dan Andres Basso.
Gorini berkata “gerakan penipuan yang luar biasa berlaku” merujuk kepada hukuman itu yang diputuskan selepas tiga tahun.
Menurut keputusan itu, Fernandez de Kirchner dihalang memegang jawatan awam, namun sebagai ketua Senat dan penggubal undang-undang, beliau dilindungi daripada pendakwaan.
Sebelum ini, naib presiden itu mendakwa beliau menjadi sasaran seteru politiknya.
Pendakwa raya Persekutuan menuduh Fernandez de Kirchner memberi kontrak kerja awam palsu dan terlalu mahal di Santa Cruz semasa tempoh dua penggalnya sebagai presiden dari 2007-2015 dan mendesak hukuman penjara 12 tahun dan larangan seumur hidup daripada memegang jawatan awam.
Banyak kontrak yang dikatakan menguntungkan sekutu rapat keluarga Kirchner dengan beberapa telah disabitkan dengan rasuah.