GAMBAR ATAS: elcomercio.pe
Oleh Zainal AS Rashid
ADIK ipar Presiden Peru Pedro Castillo diarahkan mahkamah menjalani 30 bulan tahanan pra-perbicaraan pada Ahad (28 Ogos).
Ia merupakan tindakan paling serius setakat ini bersabit siasatan jenayah yang menyasarkan kalangan dalaman pemimpin di negara itu.
Castillo dikatakan sering merujuk kepada Yenifer Paredes, yang dibesarkan oleh beliau dan isterinya sejak dia kecil, sebagai “anak perempuannya”.
Pendakwa raya berkata dia adalah sebahagian daripada kumpulan yang terlibat dalam pengaruh mendapatkan kontrak awam untuk beberapa kroni Castillo di wilayah Cajamarca, Peru.
Paredes belum lagi didakwa melakukan jenayah, tetapi dia akan ditahan di penjara sepanjang siasatan, lapor portal berita elcomercio.pe
Castillo, yang telah memegang jawatan selama 13 bulan, terbabit dalam beberapa skandal rasuah, dan telah dua kali terlepas daripada percubaan untuk memecatnya.
Beliau menafikan sebarang salah laku dan menuduh pihak pendakwa bersubahat dalam usaha untuk menggulingkannya.
Pendakwa raya telah membuka enam kes siasatan jenayah terhadapnya, termasuk satu kerana didakwa menghalang keadilan dalam pemecatan bekas menteri dalam negeri.
Seorang lagi bekas menteri telah menjadi buruan sejak berbulan, manakala menteri pengangkutan sekarang mengekalkan tugasnya walaupun pendakwa raya mendakwa dia adalah sebahagian daripada “organisasi jenayah” Castillo.
Pendakwa raya juga meminta supaya isteri Castillo, Lilia Paredes, dilarang ke luar negara untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Walaupun pendakwa raya begitu agresif mendakwa beberapa sekutu Castillo, namun mereka tidak boleh mendakwa atau menahannya selagi beliau kekal sebagai presiden.
Pemimpin Peru sering dilaporkan terbabit dalam skandal rasuah. Sebelum ini, empat presiden dihukum penjara , atau diletakkan dalam tahanan rumah, atau dalam proses untuk dibawa ke muka keadilan.
-BTS Media