POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenakan sekatan perjalanan terhadap seorang lelaki tempatan yang dikaitkan dengan kontroversi petisyen azan di Ampang dengan meletakkannya dalam Senarai Pekeliling Khas.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata langkah itu diambil selepas pihak polis menerima beberapa laporan daripada penduduk serta jawatankuasa surau berhubung petisyen yang dibangkitkan di kawasan perumahan terbabit.
Beliau menjelaskan bahawa suspek masih belum ditahan, namun penyenaraian tersebut bertujuan menghalangnya daripada meninggalkan negara, selain memudahkan tindakan lanjut sekiranya dikesan di pintu keluar negara.
Menurut beliau, individu yang berada dalam senarai itu akan dipantau di semua pintu masuk dan keluar negara, dan boleh ditahan sekiranya cuba berlepas ke luar Malaysia, sambil menambah usaha mengesan suspek sedang dipergiat.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri acara Run With Royalty PDRM Selangor 2026 di Elmina Lakeside Mall, yang turut disertai kira-kira 8,000 peserta dan disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia selepas siasatan awal menemukan elemen kesalahan.
Katanya, beberapa individu termasuk wakil komuniti setempat telah dipanggil bagi membantu siasatan, manakala seorang individu dari pejabat ahli majlis turut tampil memberi keterangan.
Beliau menambah bahawa polis masih mengesan suspek dan akan memanggilnya untuk dirakam percakapan sebaik sahaja berjaya ditemui. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa siasatan masih berjalan, termasuk meneliti punca dan motif kejadian, sambil memberi jaminan proses siasatan akan dijalankan secara adil dan telus.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam membuat kenyataan atau tindakan yang boleh melanggar undang-undang, khususnya di bawah Akta Hasutan.
Sebelum ini, sebuah jawatankuasa surau di Ampang membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah terhadap seorang individu yang didakwa membantah laungan azan, pelaksanaan solat berjemaah serta penggunaan ruang luar surau berkenaan.
-BTSMedia.my


