BTS Media

Berjimat: Tangguh lawatan ke luar negara bagi menteri, penjawat awam kanan

DUA persatuan pengguna meminta menteri dan penjawat awam kanan menangguhkan “lawatan mengelilingi dunia” sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata, jutaan ringgit yang dijimatkan patut digunakan untuk membantu rakyat Malaysia yang sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

Mereka berkata, lawatan perdana menteri dan menteri lain ke seluruh dunia akan menelan berpuluh juta ringgit wang pembayar cukai.

Presiden Fomca, N Marimuthu berkata, lawatan untuk meningkatkan hubungan dua hala dan menarik pelabur boleh ditangguhkan, dengan perdana menteri dan menteri patut berada dalam negara untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga barang.

“Bagi sebuah kerajaan yang berusia kurang setahun, jumlah lawatan ke luar negara oleh perdana menteri dan beberapa menterinya adalah luar biasa tinggi. Keutamaan sekarang ialah untuk mereka bersama rakyat dalam masa sukar ini.”

Marimuthu berkata, rombongan perdana menteri boleh mencecah lebih 20 orang, manakala menteri pula diiringi kira-kira 12 orang.

“Semua orang mengembara kelas perniagaan dan perbelanjaan mereka serta tuntutan lain boleh mencecah ratusan ribu ringgit bagi setiap perjalanan. Jutaan ringgit ini boleh digunakan untuk membantu rakyat B40 buat masa ini.”

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kadir berkata, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengadakan lawatan ke luar negara sebanyak 11 kali sejak mengambil alih jawatan itu pada Ogos 2021.

Menteri lain yang sudah mengadakan lawatan ke luar negara adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin serta Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

“Tiba masanya untuk melaksanakan moratorium ke atas lawatan luar negara sehingga masalah dalam negara selesai,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, hasil semakan menunjukkan perdana menteri sudah melawat Amerika Syarikat, United Kingdom, Vietnam, Jepun, Indonesia (dua kali), Brunei, Kemboja, Singapura, Thailand, Qatar serta Emiriah Arab Bersatu dan kini berada di Turki untuk lawatan rasmi selama empat hari.

Dilaporkan dari Jun 2018 hingga Oktober 2019, kerajaan membelanjakan hampir RM21 juta untuk membiayai lawatan rasmi Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad. Jumlah yang dibelanjakan Ismail dan menterinya dalam lawatan luar negara belum dilaporkan.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/07/05/tangguh-lawatan-keliling-dunia-boleh-jimat-jutaan-ringgit-menteri-diberitahu/

Leave a Comment