BTS Media

Pemimpin junta Myanmar lakukan lagi lawatan ke Rusia

Oleh Fetty Rara

PEMIMPIN junta Myanmar pada Isnin kembali semula ke Rusia untuk “lawatan”.

Ini merupakan lawatan kedua ke sana dalam tempoh kurang dua bulan, ketika tentera pemerintah Myanmar cuba mengukuhkan salah satu daripada beberapa negara pakatan diplomatiknya ketika tekanan antarabangsa terhadap Myanmar semakin meningkat.

Pemimpin tertinggi junta, Jeneral Min Aung Hlaing masih terus dihalang daripada mewakili Myanmar di kebanyakan perhimpunan antarabangsa sejak mengetuai rampasan kuasa awal tahun lalu yang menggulingkan kerajaan sah dipilih secara demokratik pimpinan Aung San Suu Kyi.

Beliau pertama kali melawat Moscow sebagai pemimpin pada Jun tahun lalu, apabila Rusia dan Myanmar menyuarakan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama ketenteraan.

Beliau juga melawat negara itu pada Julai, tetapi dikatakan oleh Rusia sebagai lawatan peribadi.

Rusia, sumber utama perkakasan ketenteraan untuk Myanmar, merupakan antara negara pertama menyuarakan sokongan kepada junta tentera selepas rampasan kuasa, ketika negara itu dikecam antarabangsa atas penggunaan kekerasan ke atas pihak pembangkang.

Media kerajaan Myanmar berkata, selain lawatan ke lokasi tertentu di Rusia, beliau juga akan menghadiri sidang kemuncak ekonomi, universiti dan kilang, manakala menteri dan pegawai kanan tentera yang mengiringinya akan bertemu rakan sejawatan mereka untuk “mengukuhkan kerjasama”.

Myanmar, yang memperoleh bekalan vaksin Covid-19 daripada Rusia juga merancang untuk mengimport minyak Rusia untuk meringankan beban ketidakcukupan bahan api di negara itu.

Di pihak Rusia pula, Myanmar dilihat sebagai peluang mendapatkan sumber perniagaan baharu ketika Barat mengenakan sekatan ke atasnya berikutan pencerobohan ke atas Ukraine.

Junta Myanmar kini berdepan dengan beberapa sekatan menyasarkan kepimpinannya serta rangkaian perniagaan yang dikuasai oleh tentera.

-BTS Media

Leave a Comment