DUA anggota pengaman Malaysia yang berkhidmat bersama Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 di selatan Lubnan dilaporkan mengalami kecederaan ringan selepas satu serangan udara berlaku berhampiran konvoi mereka pada pagi Khamis.
Dalam satu kenyataan, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin Kementerian Pertahanan memaklumkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.25 pagi waktu tempatan, sekitar satu kilometer di barat Kedudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNP) 6-43 di Tibnin.
Menurut kenyataan itu, serangan udara berkenaan berlaku berhampiran konvoi logistik Malbatt 850-13 yang sedang melaksanakan misi rutin penghantaran bekalan ke Tyre.
Dua anggota terbabit mengalami kecederaan ringan selepas terkena serpihan kaca kenderaan yang pecah akibat impak serangan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa dua kenderaan milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengalami kerosakan luaran kecil susulan kejadian berkenaan.
Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) Malbatt 850-13 yang ditempatkan di UNP 6-43 diaktifkan serta-merta selepas serangan udara tersebut dengan sokongan anggota perubatan dan logistik.
Pasukan berkenaan membantu anggota yang terjejas serta menyelaras usaha pemulihan kenderaan yang rosak sebelum mengiringi konvoi itu pulang dengan selamat ke pangkalan.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan tersebut menjalankan penilaian keselamatan serta memeriksa keadaan anggota dan kenderaan sebelum mengatur kepulangan konvoi ke pangkalan.
Kedua-dua anggota yang cedera telah menjalani pemeriksaan perubatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Tiada kecederaan serius atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian itu, manakala ahli keluarga terdekat anggota yang terlibat telah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Malbatt 850-13 telah mempertingkatkan protokol keselamatan termasuk memperketatkan prosedur pergerakan konvoi, memperkukuh pemantauan keselamatan secara masa nyata serta meningkatkan penyelarasan dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
 – BTSMedia.my



