BEBERAPA anggota Batalion Malaysia 850-12 (Malbatt 850-12) cedera dalam serangan Israel di Lubnan.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin mengesahkan mereka yang cedera adalah yang berlepas dari Malaysia pada hari Rabu (6 Nov).
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut.
Sementara itu, Reuters melaporkan bahawa serangan Israel ke atas bandar Sidon di selatan Lubnan membunuh tiga warga Lubnan dan mencederakan tiga askar Lubnan dan empat anggota Malaysia daripada pasukan Unifil, kata tentera Lubnan pada Khamis (7 Nov).
Serangan itu menyasarkan sebuah kereta ketika ia melalui pusat pemeriksaan, yang membawa kepada pembunuhan tiga warga Lubnan yang berada di dalamnya, kata tentera dalam satu kenyataan.
Askar yang cedera bertugas di pusat pemeriksaan, manakala anggota Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) terbabit berada di dalam kenderaan pasukan pengaman PBB yang melalui pusat pemeriksaan ketika itu, menurut kenyataan tentera.
Skuad Malbatt-12 terdiri daripada 854 pegawai dan kakitangan yang dihantar ke Lubnan untuk menggantikan pasukan Malbatt 850-11 yang ditempatkan di sana.
Mereka dihantar ke Lubnan secara berperingkat sehingga 18 Nov dengan kumpulan pertama terdiri daripada 220 kakitangan dikerahkan pada hari Rabu.