Oleh Zainal AS Rashid
DUA anggota SEAL tentera laut Amerika Syarikat dilaporkan hilang di luar pantai Somalia selepas terjatuh ke dalam air semasa cuba menceroboh sebuah kapal pada malam Khamis lalu.
Seorang pegawai AS memberitahu Associated Press bahawa kedua-dua anggota itu sedang cuba memanjat sebuah kapal ketika dalam operasi di Teluk Aden apabila pukulan ombak tinggi menyebabkan seorang daripada mereka terjatuh ke laut.
Melihat apa yang berlaku, anggota SEAL yang seorang lagi terus melompat ke air untuk membantu, seperti mana diwajibkan dalam protokol Navy Seal. Kedua-duanya, bagaimana pun, kemudian dilaporkan hilang.
Dalam satu kenyataan pada hari Sabtu, US Central Command berkata usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan.
Sejak beberapa minggu lalu, perairan Teluk Aden menjadi tumpuan aktiviti tentera laut AS.
Susulan kejadian, seperti dijangka pegawai-pegawai memberitahu AP dan akhbar Washington Post segera menafikan bahawa kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan tindak balas Amerika Syarikat terhadap serangan oleh pejuang Houthi ke atas sebuah kapal tangki minyak.
Setakat ini, butiran mengenai misi dan kapal mana yang kedua-dua anggota tersebut cuba menaiki masih tidak jelas.
Tentera laut AS sering menjalankan misi operasi dalam usaha memintas senjata dibawa kapal yang menuju ke Yemen.
Kedua-dua anggota Navy SEAL itu adalah dari US 5th Fleet (C5F) yang beroperasi di perairan tersebut.
-BTS Media