PELANTIKAN Tunku Zain Al-‘Abidin sebagai Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang baharu dipersoalkan apabila seorang peguam mendakwa proses berkenaan tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan Negeri Sembilan.
Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mendakwa pelantikan tersebut dibuat tanpa rundingan terlebih dahulu dengan pembesar-pembesar memerintah negeri seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 26(a) Perlembagaan Negeri Sembilan.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook semalam, beliau berhujah bahawa Yang di-Pertuan Besar perlu berunding dengan pembesar-pembesar memerintah sebelum mengurniakan sebarang gelaran atau darjah kebesaran.
Menurutnya, tafsiran terhadap Perkara 34(1) dan takrif “ketua pemerintah” dalam perlembagaan negeri menunjukkan rundingan perlu melibatkan pemerintah adat yang berkaitan. Beliau mendakwa rundingan tersebut tidak diadakan sebelum pelantikan Tunku Zain.
Khairul turut berpendapat bahawa sebarang kegagalan mematuhi syarat berkenaan boleh membuka ruang untuk pelantikan itu dicabar sama ada di mahkamah atau di Dewan Keadilan dan Undang yang ditubuhkan di bawah Perkara 16 Perlembagaan Negeri.
Semakan terhadap perlembagaan negeri menunjukkan Bab Lima yang menyentuh mengenai pembesar-pembesar memerintah melibatkan bukan sahaja empat Undang Luak, malah turut merangkumi Tunku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar.
Isu pelantikan itu timbul ketika pertikaian berkaitan institusi diraja dan pemerintah adat Negeri Sembilan terus berlarutan.
Pada hari Khamis, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, memasyhurkan anakanda baginda, Tunku Zain Al-‘Abidin, sebagai Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang baharu bagi menggantikan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar.
Sebelum itu, Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan berkata bahawa majlis pemasyhuran Tunku Nadzaruddin sebagai pemerintah negeri tidak sah kerana tidak diiktiraf oleh perlembagaan, undang-undang serta adat negeri.
Minggu lalu, satu majlis pemasyhuran Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar telah diadakan di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka, selepas berlakunya kekecohan yang dikaitkan dengan campur tangan pihak polis. Majlis tersebut dipercayai dipindahkan daripada lokasi asal selepas beberapa halangan berlaku.
Dalam perkembangan berkaitan, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Rais Yatim, berpandangan bahawa syarat yang diperlukan bagi istiadat pemasyhuran berkenaan telah dipenuhi berdasarkan Perlembagaan Negeri.
Pertikaian itu mula mendapat perhatian pada bulan April lalu apabila empat Undang mengumumkan Tunku Nadzaruddin sebagai pemerintah seterusnya. Pada masa sama, Undang Yang Empat turut mengumumkan persetujuan mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar selepas siasatan terhadap baginda dimulakan berhubung dakwaan pelanggaran tugas diraja.
Krisis tersebut turut memberi kesan kepada landskap politik negeri apabila kerajaan pimpinan Menteri Besar sementara, Aminuddin Harun, kehilangan sokongan sebahagian pihak. Bagaimanapun, usaha membentuk kerajaan baharu gagal, menyebabkan beliau terus mengetuai kerajaan minoriti sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 4 Jun.
-BTSMedia.my



