JABATAN Peguam Negara (AGC) dilaporkan tidak membantah permohonan Ahmad Zahid Hamidi untuk dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada 42 pertuduhan rasuah membabitkan Yayasan Akalbudi.
Pasukan pembelaan Timbalan Perdana Menteri itu dilaporkan berada di ambang satu perkembangan penting yang berpotensi membersihkan beliau daripada semua pertuduhan, namun prosiding bertukar secara dramatik apabila Badan Peguam Malaysia campur tangan sebagai amicus curiae bagi membantah permohonan berkenaan.
Badan Peguam Malaysia memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa pihaknya mempunyai permohonan kebenaran yang masih belum diputuskan di Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman. Pihak berkenaan berhujah bahawa sekiranya pelepasan dan pembebasan penuh diberikan ketika ini, cabaran yang difailkan mungkin menjadi akademik.
Perkembangan itu mendorong peguam kanan, Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Presiden UMNO, untuk membantah dan mengemukakan hujahan mengapa permohonan Badan Peguam Malaysia tidak seharusnya dilayan oleh mahkamah.
Pada 27 Jun 2024, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan kebenaran Badan Peguam Malaysia untuk mencabar keputusan Peguam Negara menghentikan kes terhadap Ahmad Zahid, sekali gus mendorong rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.
-BTSMedia.my



