KETUA Pengarah baharu Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali, dikritik selepas didakwa tersilap menyebut nama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebagai “Onn Jaafar” dalam satu rakaman video.
Dalam video yang dimuat naik pada hari kedua beliau memegang jawatan itu, Mohd Hisyamuddin menjelaskan peranan J-KOM dalam menyampaikan maklumat mengenai inisiatif serta pencapaian kerajaan, termasuk di negeri-negeri seperti Johor.
Beliau berkata limpahan ekonomi yang dinikmati Johor adalah hasil sumbangan kerajaan Persekutuan.
Pada masa sama, beliau mendakwa terdapat pihak yang membuat tuntutan berlebihan mengenai pencapaian negeri, sambil merujuk kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Mohd Hisyamuddin turut berkata perkara itu merupakan nasihat yang ingin disampaikan kepada “Onn Jaafar”.
Kenyataan tersebut mengundang pelbagai reaksi, termasuk daripada bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Eric See-To.
Menurut Eric, nama Menteri Besar Johor ialah Onn Hafiz Ghazi dan bukannya Onn Jaafar. Beliau menjelaskan bahawa Allahyarham Onn Jaafar merupakan moyang kepada Onn Hafiz dan telah meninggal dunia 64 tahun lalu.
Di media sosial, beberapa pengguna turut mempersendakan kesilapan tersebut, manakala ada yang menyarankan Mohd Hisyamuddin melakukan lebih banyak semakan sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian.
-BTSMedia.my



