MEMANDANGKAN prestasi amat lemah Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa Ahmad Zahid Hamidi supaya meletakkan jawatan sebagai pengerusi gabungan itu dengan segera.
Pengarah operasi pilihan raya BN Johor itu berkata Ahmad Zahid harus mengikut jejak langkah bekas perdana menteri Najib Razak pada 2018 dan juga meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO.
Beliau mendakwa langkah itu akan dapat membantu mengembalikan kekuatan UMNO.
“Walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin UMNO termasuk saya sendiri harus kembali kepada rakyat dan mendengar suara mereka yang telah diterjemahkan melalui undi mereka pada PRU15.
“Ramai pemimpin yang berpotensi dan berkaliber dalam UMNO, MCA dan MIC terkorban kerana kita tidak mendengar suara akar umbi.
“Kita semua harus berani mengubah haluan masa depan parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad (20 Nov).
Beliau berkata UMNO telah “runtuh” di bawah tsunami politik Melayu di mana masyarakat telah menolaknya.
“Barisan dan UMNO hanya memenangi sembilan kerusi parlimen di Johor, manakala tiada satu pun kerusi parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan dan Terengganu menjadi milik kita,” tambahnya.
-BTS Media