BTS Media

Pemandu treler nahas maut di Lebuhraya Karak positif methamphetamine

PEMANDU treler yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Bukit Tinggi pada hari Ahad disahkan positif dadah methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata saringan air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu telah mengambil bahan terlarang berkenaan.

Menurut beliau, pemandu terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong selepas menerima rawatan di Hospital Bentong. Katanya, ujian air kencing yang mendapati suspek positif methamphetamine dan dia ditahan kira-kira pukul 4 pagi hari Isnin.

Polis akan memohon perintah reman terhadap pemandu berkenaan di Mahkamah Raub bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Sebelum ini, Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, memaklumkan semakan mendapati pemandu lori terbabit mempunyai 15 saman trafik.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.25 petang hari Ahad, empat mangsa termasuk seorang bayi maut selepas kereta yang dinaiki mereka dihempap treler yang terbalik.

Mangsa yang terdiri daripada seorang lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak berusia setahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pemandu treler pula mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan pinggul.

  – BTSMedia.my

Leave a Comment