BTS Media

Tentera laut Amerika pintas tiga kapal tangki minyak Iran berhampiran Malaysia

TENTERA Laut Amerika Syarikat telah memintas sekurang-kurangnya tiga kapal tangki berbendera Iran di perairan Asia dan mengalihkan haluan kapal-kapal tersebut dari kedudukan berhampiran India, Malaysia dan Sri Lanka.

Menurut sumber perkapalan dan keselamatan pada hari Rabu, Washington telah mengenakan sekatan laut terhadap perdagangan Iran, manakala Iran dilapor melepaskan tembakan ke arah kapal-kapal bagi menghalang pelayaran melalui Selat Hormuz, laluan utama ke Teluk Timur Tengah.

Hampir dua bulan peperangan antara AS dan Israel terhadap Iran bermula, tanda-tanda rundingan damai disambung semula masih belum kelihatan manakala gencatan senjata yang sedang “berkuat kuasa” sekarang bagaikan telur di hujung  tanduk.

Penutupan selat tersebut telah mengganggu bekalan sekitar satu perlima minyak dan gas dunia serta mencetuskan krisis tenaga global.

Menurut sumber di petik Reuters, dalam beberapa hari kebelakangan ini, tentera AS telah merampas sebuah kapal kargo dan sebuah kapal tangki minyak Iran. Iran pula berkata bahawa pihaknya telah menahan dua kapal kontena yang cuba keluar dari Teluk melalui Selat Hormuz selepas melepaskan tembakan.

Menurut empat sumber perkapalan dan keselamatan maritim Barat yang dipetik, AS telah mengalihkan sekurang-kurangnya tiga lagi kapal tangki minyak berbendera Iran dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Tentera AS tidak belum mengeluarkan sebarang komen setakat ini.

Salah satu kapal yang terlibat ialah kapal tangki super Deep Sea berbendera Iran yang membawa sebahagian muatan minyak mentah dan kali terakhir dikesan di luar pesisir Malaysia seminggu lalu berdasarkan data penjejakan kapal di platform MarineTraffic.

Kapal tangki lebih kecil, Sevin, yang mempunyai kapasiti maksimum satu juta tong dan membawa kira-kira 65% muatan, turut dipintas. Data penjejakan menunjukkan kapal itu kali terakhir dikesan di luar pantai Malaysia sebulan lalu.

Menurut sumber dan data MarineTraffic, kapal tangki super Dorena berbendera Iran yang membawa dua juta tong minyak mentah turut dipintas dan kali terakhir dikesan di luar pantai selatan India tiga hari lalu,.

Dalam satu hantaran di ‘X”, U.S. Central Command berkata bahawa Dorena kemudian diiringi oleh kapal pemusnah Tentera Laut AS di Lautan Hindi selepas cuba melanggar sekatan tersebut.

Sumber perkapalan turut memaklumkan bahawa kapal tangki Derya berbendera Iran mungkin turut dipintas selepas gagal memunggah muatan minyak Iran di India sebelum pengecualian AS terhadap pembelian minyak mentah Iran tamat pada hari Ahad. Kapal itu kali terakhir dikesan di pantai barat India pada hati Jumaat.

U.S. Central Command juga mendakwa bahawa sejak pelaksanaan sekatan terhadap kapal yang memasuki atau keluar dari pelabuhan Iran, tentera laut AS telah memintas sebanyak 29 kapal.

Tentera AS tidak menyenaraikan semua kapal yang dipintas dan tidak memberikan respons segera terhadap pertanyaan mengenai kapal Derya dan Deep Sea.

Satu lagi sumber keselamatan maritim menyatakan bahawa tentera AS dilihat menyasarkan kapal Iran di luar kawasan Selat Hormuz, khususnya di perairan terbuka, bagi mengurangkan risiko ranjau laut semasa operasi dijalankan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment