BTS Media

Kumpulan pro-Palestin kecam Malaysia sambut kapal perang Amerika Syarikat

KUMPULAN pro-Palestin, Gegar Amerika mengecam kerajaan Malaysia kerana menyambut ketibaan kapal perang USS Abraham Lincoln milik Tentera Laut AS di Pelabuhan Klang baru-baru ini.

Kumpulan itu mendakwa perkara itu mendedahkan sikap hipokrit kerajaan dalam menyokong perjuangan Palestin.

“Mengapa kerajaan Malaysia menyambut kehadiran kuasa asing yang terlibat dalam perang imperialis di tanah air kita? Adakah sokongan kita terhadap rakyat Palestin tidak bermakna apa-apa selama ini?

“Kehadiran USS Abraham Lincoln di Pelabuhan Klang mendedahkan sisi sebenar di sebalik kerajaan neokolonialisme Malaysia yang hanya menggunakan retorik pro-Palestin demi kepentingan politik tetapi pada masa sama membuka pintu kepada kuasa asing seperti Amerika yang terlibat dalam genosid dan peperangan terhadap Dunia Selatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan itu berkata ini bukan kali pertama Malaysia bekerjasama dengan pasukan tentera AS.

Menurutnya, pada Jun lalu, Malaysia menyertai latihan perang RIMPAC 2024 bersama AS dan Israel, ketika Rafah masih dihujani peluru Zionis.

Kenyataan Gegar Amerika itu dikeluarkan susulan lawatan kapal pengangkut pesawat kelas Nimitz USS Abraham Lincoln (CVN 72), yang tiba di perairan Malaysia pada Sabtu.

Kapal pengangkut pesawat itu sedang dalam perjalanan ke wilayah Indo-Pasifik selepas penempatan selama tiga bulan di Timur Tengah, termasuk melancarkan serangan udara yang menyasarkan kumpulan pejuang Houthi di Yaman awal bulan ini.

Ketibaan kapal induk itu di Pelabuhan Klang disambut oleh wakil Wisma Putra, Kementerian Pertahanan dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Menurut laporan Bernama, mereka turut dijadualkan menyertai lawatan tempatan dan menjalankan projek perhubungan komuniti (COMREL) iaitu anggota tentera itu akan menjadi sukarelawan di dapur komuniti, rumah orang tua dan rumah kanak-kanak.

Sehubungan dengan itu, Gegar Amerika menuntut Malaysia menghentikan segala bentuk kerjasama ketenteraan dengan AS, dan menghentikan latihan perang bersama negara itu.

Kumpulan itu juga menggesa kerajaan menghentikan segala bentuk kerjasama dengan tentera AS yang terlibat dalam pembunuhan di Palestin, Lubnan dan Yaman.

“Hentikan menyokong genosid dan imperialisme. Jangan cemari tangan kita dengan darah orang yang tidak bersalah,” katanya.

Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/727012

Leave a Comment