BTS Media

Presiden Palestin kecam pencerobohan, pencemaran masjid oleh tentera Israel

Oleh Yusoff A. Shariff

PRESIDEN Palestin semalam mengecam pencerobohan dan pencemaran jahat sebuah masjid di Tebing Barat yang diduduki oleh tentera Israel.

Dalam foto yang ditularkan, anggota tentera Israel kelihatan menaiki mimbar dengan berkasut dan menggunakan pembesar suara untuk membaca doa Yahudi, Shema Yisrael.

Pada penghujung klip video itu, ketawa oleh beberapa anggota tentera Israel lain turut didengar di bahagian luar masjid melalui pembesar suara.

Menurut kementerian kesihatan Palestin yang dipetik AFP, setakat ini belum pasti bila kejadian yang begitu menghina itu dirakamkan, tetapi ia dikatakan berlaku di bandar Jenin pada minggu ini, di mana sekurang-kurangnya 11 penduduk Palestin terbunuh.

“Penodaan tentera penjajah Israel terhadap masjid di kem Jenin adalah kelakuan yang memalukan dan dikecam,” kata jurucakap presiden Palestin, Nabil Abu Rudeineh dalam satu kenyataan.

Beliau memberi amaran supaya tidak mengheret wilayah itu ke dalam kancah perang agama dan tindak balas yang bakal berlaku.

“Api perang agama yang ingin dicetuskan oleh Israel tidak akan terhad kepada wilayah Palestin sahaja, tetapi akan merebak luas ke seluruh dunia jika negara itu terus melakukan jenayah dan pencabulan hak rakyat Palestin.”

Abu Rudeineh menyeru masyarakat antarabangsa dan Amerika Syarikat “memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan pencabulannya terhadap rakyat, harta benda dan tempat kesucian Islam di Palestin.

Menurut pihak berkuasa Palestin, di Gaza, di mana Israel terlibat dalam pertempuran sengit dengan Hamas dan telah membedil wilayah itu selama berminggu-minggu, dianggarkan lebih 100 masjid telah musnah.

-BTS Media

Leave a Comment