GAMBAR: MEMO.
Oleh Yusoff A. Shariff
JERMAN pada hari Isnin menyeru Israel supaya “melindungi” rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki peneroka Zionis.
Lebih 100 rakyat Palestin dibunuh di Tebing Barat sejak meletusnya perang antara Israel dan Hamas di Gaza, kebanyakannya semasa serangan oleh tentera Israel atau serangan oleh peneroka Zionis, menurut Kementerian Kesihatan Palestin yang berpangkalan di Ramallah.
Jerman mengutuk “serangan dan keganasan oleh peneroka Yahudi terhadap komuniti Palestin di kawasan itu, yang telah menyebabkan kematian ramai orang awam”, jurucakap kementerian luar Jerman Sebastian Fischer dipetik berkata oleh AFP.
“Kami menyeru Israel supaya melindungi penduduk Palestin daripada aktiviti peneroka pelampau dan mahu mereka dipertanggungjawabkan,” kata Fischer.
“Israel, sebagai kuasa penjajah di Tebing Barat, bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan integriti penduduk Palestin di Tebing Barat.”
Keadaan di Tebing Barat, yang diduduki oleh Israel sejak tahun 1967, menjadi tegang sejak sebelum perang, dengan serangan berkala oleh tentera Israel dan peningkatan serangan oleh peneroka Yahudi terhadap penduduk Palestin.
-BTS Media