BTS Media

Amaran cuaca panas tahap 1 di 16 kawasan seluruh negara

JABATAN Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran cuaca panas tahap 1 yang melibatkan beberapa negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Menurut satu kenyataan, antara kawasan terjejas termasuk keseluruhan negeri Perlis. Di Kedah pula, daerah yang terlibat ialah Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap dan Sik.

Selain itu, kawasan Kuala Kangsar dan Hulu Perak di Perak turut disenaraikan. Di Pahang, Temerloh dan Jerantut dikenal pasti mengalami keadaan sama, manakala di Kelantan melibatkan Machang, Pasir Mas dan Jeli.

Amaran serupa juga dikeluarkan bagi Limbang dan Marudi di Sarawak, serta Beaufort di Sabah.

MetMalaysia menjelaskan bahawa status tahap 1 dikeluarkan apabila suhu maksimum harian mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat terkini berkaitan status cuaca panas melalui laman rasmi jabatan berkenaan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment