Oleh Yusoff A. Shariff
USAHA sedang dijalankan untuk mengembalikan aset warisan dan budaya yang hilang bagi memperkasakan semula industri seni dan kreatif negara.
Antara yang sedang dilakukan termasuk usaha untuk mengenal pasti aset warisan atau budaya yang perlu dikembalikan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin.
Menurut beliau pihak kementerian Komunikasi dan Multimedia mendapati bahawa pelbagai aktiviti warisan dan budaya di beberapa negeri telah hilang.
Beliau memberitahu media pada Sabtu (24 Sept) di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang bahawa pihak kementerian sedang dalam proses berbuat demikian di Terengganu dan Perlis, di mana seni penglipur lara “Awang Batil” sedang dihidupkan semula.
Zahidi berkata usaha bagi mengembalikan aset warisan dan budaya yang telah hilang adalah penting bagi menjadikan industri kreatif penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau berkata, mungkin pada masa akan datang pihaknya dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan boleh mendapatkan bajet dan menyediakan peruntukan kecil bagi setiap negeri untuk menghidupkan semula warisan dan budaya yang hilang.
-BTS Media