LARANGAN penggunaan beg plastik sekali guna akan diperluas ke kawasan Hutan Simpan, Taman Negara dan Negeri, Taman Laut serta Tapak Warisan Geologi dan Geotapak di seluruh negara bagi mengurangkan pencemaran plastik.
Langkah tersebut telah diputuskan dalam Mesyuarat Menteri Alam Sekitar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar (MEXCOE) Bilangan 1 Tahun 2025.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, turut memaklumkan bahawa larangan yang sama juga dikenakan di premis tetap seperti pasar raya, kedai serbaneka, restoran makanan segera, farmasi dan premis-premis lain yang berkaitan.
Beliau berkata bahawa kaedah pelaksanaan akan diperhalusi dan disesuaikan mengikut keperluan serta kemampuan negeri masing-masing.
Nik Nazmi menjelaskan bahawa usaha ini merupakan sebahagian daripada pendekatan untuk mendidik masyarakat mengenai betapa pentingnya penggunaan bahan mesra alam demi kesejahteraan generasi yang akan datang.
Mesyuarat MEXCOE yang dipengerusikan oleh Nik Nazmi telah menghimpunkan tujuh ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang memegang portfolio alam sekitar serta pegawai daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.
-BTS Media