BTS Media

Juruterbang dedah apa berlaku selepas penumpang pam tandas dalam pesawat

Oleh Yusoff A. Shariff

SEORANG juruterbang mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku apabila penumpang mengepam tandas di dalam kapal terbang.

Dalam video yang dikongsi melalui TikTok awal bulan ini, juruterbang Garrett, @flywithgarrett, menjelaskan tentang operasi tandas pesawat dan menyangkal beberapa tanggapan orang ramai berhubung perkara itu, lapor akhbar The Independent.

“Tahukah anda setiap kali anda mengepam tandas di dalam kapal terbang, ia sebenarnya tidak mencurah keluar pesawat dan menyimbah ke darat,” katanya.

Dia seterusnya menjelaskan bahawa kumbahan akan dikeluarkan daripada tangki khas di bahagian belakang pesawat oleh kru lapangan terbang setelah mendarat.”

Dalam video itu, Garrett juga menyatakan sebanyak mana kumbahan terkumpul dari masa ke masa, terutamanya dalam penerbangan jarak jauh.

“Sebagai contoh, penerbangan jarak jauh pesawat 747 boleh menyaksikan tandas dipamkan beribu kali, justeru mengumpulkan lebih 9,000 liter kumbahan,” katanya.

Setakat 30 Disember, video itu memperoleh lebih daripada 4.1 juta tontonan, selain mencetuskan perbahasan berhubung salah tanggapan bahawa sisa dari tandas kapal terbang dilepaskan ke udara.

-BTS Media

Leave a Comment