TIGA lelaki maut selepas kereta mereka terjunam dari jambatan yang tidak lengkap ke dasar sungai angkara menggunakan aplikasi navigasi Google Maps di Uttar Pradesh, India, pada awal pagi 24 Nov.
Menurut beberapa media India, semua mangsa dalam perjalanan dari Noida ke Bareilly untuk menghadiri majlis perkahwinan apabila kenderaan mereka jatuh dari jambatan ke Sungai Ramganga.
Beberapa laporan mengatakan mereka dalam perjalanan pulang, dan mengikut arahan Google Maps melalui jambatan yang tidak lengkap.
Kereta mereka terjunam dari ketinggian lebih 15m sebelum terhempas ke dasar sungai yang kering, lapor The Times of India.
Kereta tersebut remuk dan tiga lelaki yang terperangkap di dalam ditemui pada pagi 24 Nov oleh penduduk tempatan dari kampung Allapur, yang segera memaklumkan kepada polis.
Ketiga-tiga lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Dua daripada mereka dikenal pasti sebagai adik beradik Nitin dan Ajit berusia 30 tahun, manakala yang ketiga dikenali sebagai Amit, 40, lapor akhbar India The Economic Times.
Pegawai polis Faridpur, Ashutosh Shivam berkata bahagian hadapan jambatan itu runtuh ke dalam sungai semasa banjir pada awal tahun 2024, tetapi perubahan ini tidak ditunjukkan pada Google Maps. Dia menambah bahawa tiada halangan keselamatan atau tanda amaran di jambatan itu.
Berang dengan kejadian itu, ahli keluarga mangsa dan penduduk di kawasan tersebut mengecam Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan kerana gagal menutup jambatan yang tidak siap itu.
Empat jurutera dari Jabatan Kerja Raya dan seorang pegawai yang tidak dinamakan dari Google Maps sedang membantu siasatan polis, lapor Economic Times.
Seorang jurucakap Google berkata dalam satu kenyataan: “Kami mengucapkan simpati kepada keluarga. Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan memberikan sokongan untuk menyiasat isu ini.”
-BTS Media