DUA lelaki maut selepas berbalas tembak dengan polis di hentian rehat Tanjung Malim di Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata ketika itu sepasukan yang terdiri daripada anggota dari Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Perak sedang mengekori sebuah kereta pada kira-kira pukul 11.32 malam Sabtu (1 Jun).
“Menyedari mereka diekori, suspek memecut laju dan memasuki lebuh raya.
“Polis mengejar dan berjaya mengepung suspek di hentian rehat Tanjung Malim.
“Suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah, dan anggota polis membalas tembakan,” katanya dalam satu kenyataan pada hari Ahad (2 Jun).
Dua suspek lelaki ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam kereta dan maut di tempat kejadian selepas berbalas tembakan, katanya.
“Seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dengan 23 kesalahan terdahulu, termasuk enam kes di mana dia dikehendaki polis.
“Kami menyiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya.
Hussein menggesa mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-6064 1223.
-BTS Media