BTS Media

Kenyataan Zahid tentang pemindahan pelarian Rohingya ke Turkiye dipadamkan

KEMENTERIAN Luar Turkiye mengesahkan hantaran Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, berhubung cadangan pemindahan 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia ke negara itu telah dipadamkan.

Kementerian itu memaklumkan kepada media bahawa hantaran Ahmad Zahid yang dirujuk dalam laporan berita sebelum ini sudah dipadamkan, namun tidak menyatakan sebab ia ditarik balik.

Pejabat Ahmad Zahid juga belum memberikan maklum balas terhadap permintaan media untuk mendapatkan penjelasan, manakala laporan mengenai cadangan itu turut dipercayai telah ditarik balik oleh beberapa media tempatan.

Dalam hantaran yang kini sudah dipadamkan, Ahmad Zahid dilaporkan berkata Kabinet bersetuju dengan cadangan memindahkan 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia ke Turkiye selepas lawatan kerja rasmi beliau ke negara berkenaan.

Beliau berkata cadangan itu bertujuan menangani isu pelarian Rohingya secara lebih tersusun, berkesan dan berperikemanusiaan.

Mengikut rancangan berkenaan, pelarian terbabit akan mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Turkiye selama tiga hingga enam bulan, dengan latihan berteraskan kemahiran praktikal yang diperlukan pelbagai sektor industri negara itu.

Bagaimanapun, pemadaman hantaran tersebut tanpa penjelasan rasmi daripada kerajaan Malaysia menimbulkan persoalan mengenai status sebenar cadangan berkenaan, termasuk sama ada ia masih dalam perancangan atau telah dibatalkan.

Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mengiktiraf pelarian secara rasmi, meskipun menjadi tempat perlindungan kepada puluhan ribu Rohingya yang melarikan diri daripada penindasan di Myanmar.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kaum Rohingya, yang merupakan minoriti Muslim teraniaya di Myanmar, merupakan kira-kira dua pertiga daripada 190,000 pelarian dan pencari suaka Myanmar di Malaysia,.

PBB pada hari Khamis menyifatkan tindakan keras terhadap Rohingya di Myanmar sebagai genosid, manakala Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague sebelum ini mengarahkan Myanmar memastikan keselamatan kumpulan itu serta membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat.

Malaysia pada akhir bulan September lalu turut menghantar pulang kira-kira 1,500 warga Myanmar menerusi program yang disifatkan pihak berkuasa sebagai penghantaran pulang secara sukarela.

Bagaimanapun, kumpulan hak asasi memberi amaran bahawa tindakan itu berpotensi mendedahkan migran kepada bahaya sekiranya mereka dikembalikan ke Myanmar yang masih bergolak.

Kerajaan Malaysia pada bulan Oktober lalu turut meminta penjelasan daripada pihak berkuasa Myanmar berhubung laporan bahawa ratusan migran yang dihantar pulang ditahan sebaik tiba di negara itu.

-BTSMedia.my

Leave a Comment