GAMBAR: Bernama
Oleh Yusoff A. Shariff
PEMBANGKANG hari ini mempersoalkan kenyataan bercanggah yang diberikan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berhubung usul yang difailkan untuk membincangkan penjelasan Peguam Negara (A-G) mengenai pelepasan kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi.
Ia berikutan Johari tidak mengotakan janji untuk membenarkan mereka bercakap berhubung usul tergempar itu di Dewan Rakyat hari ini.
Susulan itu, ahli parlimen (AP) Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata kuasa eksekutif sememangnya melindungi Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, lapor NST.
Beliau berkata usul tersebut ditolak oleh Speaker, walaupun sebelum itu beliau menyatakan bahawa beliau akan diberi peluang untuk membincangkannya.
“Bagaimanapun, kami tidak pasti masa yang diberikan dan berapa ramai (Ahli Parlimen) dibenarkan berdebat (mengenai perkara itu).
“Ini adalah perkara kepentingan rakyat. Justeru, mengapa individu yang melakukan kecurian kecil dipenjarakan tetapi individu yang memegang portfolio timbalan perdana menteri dilihat dilindungi oleh parlimen, speaker dan kuasa eksekutif,” katanya pada sidang media di parlimen hari ini.
Terdahulu, ahli parlimen pembangkang terpinga-pinga apabila Johari tidak mengotakan kata-katanya untuk membenarkan mereka bercakap berhubung usul tergempar itu.
Wan Ahmad Fayshal ketika itu sudah pun bersiap sedia untuk memulakan ucapannya, apabila Speaker tiba-tiba mengumumkan penangguhan sesi hari ini.
-BTS Media