BTS Media

Malaysia akan eksport durian segar ke China tidak lama lagi, kata Kurup

Oleh Yusoff A. Shariff

MALAYSIA dijangka mula mengeksport durian segar ke China dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata, eksport durian segar ke China adalah sebahagian daripada 14 memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani dengan China pada hari Rabu (19 Jun).

Menurut Kurup, sebelum ini Malaysia mengeksport durian sejuk beku ke China, tetapi di bawah MOU tersebut Malaysia akan mengeksport durian segar berikutan permintaan dari sana.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama petani dan nelayan tempatan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Benut pada hari Khamis (27 Jun).

Ditanya berapa banyak durian segar Malaysia akan dieksport ke China, beliau berkata ini bergantung kepada Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China.

“Apabila durian kita memenuhi syarat di sana, kita akan mula mengeksport durian segar sama ada menjelang bulan September atau Oktober,” katanya sambil menambah pengeluar durian tempatan perlu memastikan durian mereka dalam keadaan bersih.

Kurup juga berkata walaupun Malaysia mengeksport durian ke China, masih terdapat bekalan mencukupi untuk pasaran tempatan.

“Biasanya, permintaan untuk durian dari luar negara jauh lebih tinggi daripada permintaan dalam negeri. Tahun lepas, Malaysia mengeksport buah-buahan bernilai RM2 bilion, 56% daripadanya durian.

-BTS Media

Leave a Comment