BTS Media

Ladang Malaysia hantar ayam ke Singapura sebelum larangan eksport

GAMBAR ATAS: BTS Media.

 

Oleh Zainal AS Rashid

Pembekal ayam Malaysia dilaporkan bekerja lebih masa untuk menghantar bekalan secepat mungkin ke Singapura sebelum larangan eksport berkuat kuasa pada 1 Jun.

Difahamkan lapan pengeksport, ladang dan pembekal ayam Malaysia memberitahu akhbar Singapura, The Straits Times (ST) bahawa pengumuman larangan eksport ke Singapura amat mengejutkan.

Mereka berkata susulan pengumuman itu mereka memutuskan untuk menghantar sebanyak dan secepat mungkin bekalan ayam ke republik itu.

Ini berlaku ketika permintaan ayam melonjak di Singapura

Agensi Makanan Singapura (SFA) memberitahu ST bahawa mereka sedang bekerjasama rapat dengan industri berkenaan bagi menangani permintaan bekalan ayam di negara itu.

“Industri telah mengaktifkan rantaian bekalannya untuk meningkatkan import ayam,” katanya.

Perkhidmatan Veterinar Haiwan Singapura dilapor telah melanjutkan waktu operasi untuk pemeriksaan ayam hidup yang masuk di Pusat Pemeriksaan Tuas dari 25 Mei hingga 31 Mei, tambah agensi itu.

Pada Isnin (23 Mei), Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Malaysia akan menghentikan eksport kira-kira 3.6 juta ekor ayam sebulan sehingga harga domestik dan pengeluaran stabil.

Menurut ST, Malaysia kini menghadapi masalah kekurangan bekalan, dan kerajaan sedang menyiasat kemungkinan wujud kartel mengawal harga dan bekalan ayam itik.

Bagaimana pun, akhbar itu memetik beberapa sumber industri ayam di Malaysia berkata bahawa masalah bekalan adalah disebabkan kekurangan tenaga pekerja, kenaikan kos, penyakit dan cuaca yang tidak menentu.

Seorang pengeksport memberitahu ST bahawa walaupun pengusaha besar mungkin cuba menaikkan harga dari semasa ke semasa, namun mereka terpaksa menurunkan semula harga kerana pengguna akan memilih penjual lain yang menawarkan harga lebih murah.

“Walaupun beberapa ladang memutus untuk menaikkan harga, terdapat banyak lagi yang akan terus menjual pada harga yang lebih rendah, justeru menarik pembeli,” katanya.

Menurut beliau oleh kerana ayam merupakan komoditi popular dengan banyak pengusaha di pasaran, sebarang percubaan untuk memanipulasi pasaran akhirnya akan gagal.

Walaupun di Malaysia harga sepatutnya dihadkan pada RM8.90 (S$2.80) sekilogram, namun ia masih dijual pada harga sekitar RM11.90 sekilogram.

Menurut SFA, tahun lepas Singapura mengimport kira-kira 34 peratus, atau hampir 73,000 tan bekalan ayamnya dari Malaysia, dan lebih 3.7 juta ekor ayam disembelih pada Mac tahun ini.

Ayam hidup ke Singapura hanya boleh diimport dari 115 ladang di Malaysia Barat yang diluluskan oleh SFA. Daripada jumlah ini, 91 terletak di Johor.

-BTS Media

Leave a Comment