BTS Media

Eksport ayam kampung, ayam hitam ke Singapura dibenarkan

GAMBAR ATAS: BTS Media.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Malaysia menarik balik sebahagian larangan eksport ayam, dengan sekurang-kurangnya satu syarikat pengeluar ayam terbesar di Singapura mendapat bekalan ayam kampung hidup dari sini.

Menurut syarikat pengimport Kee Song Food, pihak berkuasa Malaysia membenarkan syarikat itu menyambung semula pengimportan ayam kampung hidup pada Selasa (14 Jun), lapor Asia News Network.

Syarikat itu juga akan membawa masuk ayam hitam dari Malaysia mulai Sabtu (18 Jun).

Seorang pegawai syarikat, Kee Song James Sim menunjukkan kepada akhbar The Straits Times Singapura (ST) surat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia yang menyatakan kerajaan Malaysia bersetuju membenarkan eksport ayam kampung dan ayam hitam hidup, berikutan keputusan Kabinet yang dibuat pada 8 Jun lalu.

Bagaimana pun, surat itu juga menyatakan bahawa larangan eksport ayam pedaging komersial, iaitu ayam bersaiz lebih besar yang merupakan sebahagian besar daripada import ayam oleh Singapura dari Malaysia kekal.

ST memetik seorang pegawai tinggi kerajaan Malaysia, yang enggan namanya didedahkan, mengesahkan bahawa sebahagian larangan eksport telah ditarik balik untuk membenarkan eksport ayam kampung dan ayam hitam.

Sim pada Selasa berkata Kee Song Food sudah mula menerima tempahan untuk ayam kampung dan ayam hitam segar. Pelanggan syarikat itu termasuk penjual ayam di pasar basah, penjaja nasi ayam dan restoran di republik itu.

Malaysia menguatkuasakan larangan eksport ayam pada 1 Jun untuk menstabilkan pengeluaran dan harga dalam negara.

Singapura, yang mengimport kira-kira satu pertiga (34 peratus) daripada bekalan ayamnya dari Malaysia, menyaksikan penurunan mendadak bekalan ayam segar pada dua minggu pertama bulan ini.

Sebahagian besar ayam yang diperoleh Singapura dari Malaysia diimport secara langsung dan disembelih di rumah penyembelihan di sana. Singapura juga mengimport ayam dari beberapa negara lain, termasuk Brazil dan Amerika Syarikat, tetapi kebanyakannya jenis ayam beku.

Kebanyakan penjaja nasi ayam dan penjual ayam di pasar basah Singapura menjual ayam daging. Saiz ayam kampung dan ayam hitam lebih kecil dan dianggap jenis premium dan lebih mahal.

-BTS Media

Leave a Comment