Oleh Zainal AS Rashid
PENGGUNA Malaysia berasa kurang yakin tentang ekonomi tahun ini kerana kebimbangan kadar inflasi dan kemerosotan taraf hidup.
Sentimen ini didapati melebihi purata global dalam tinjauan nasional pengguna IPSOS.
Sehingga empat perlima rakyat Malaysia menyatakan kebimbangan tentang kesan inflasi terhadap kuasa beli, iaitu enam peratus lebih tinggi daripada purata global sebanyak 75 peratus.
Tinjauan mendapati bahawa jumlah rakyat Malaysia yang menjangkakan Bank Negara akan menaikkan kadar dasar tahun ini juga lebih tinggi daripada purata global, iaitu 78 berbanding 74 peratus. Lebih ramai rakyat Malaysia juga menjangkakan pasaran pekerjaan menjadi lebih sukar tahun ini berbanding negara lain di dunia, lapor Malay Mail.
Pengarah bersekutu hal ehwal IPSOS, Lars Erik Lie berkata, rakyat Malaysia dan seluruh dunia lebih berhati-hati tentang tahun baharu berbanding setahun yang lalu.
“Kos sara hidup yang semakin meningkat terus menjadi kebimbangan utama, manakala kebimbangan terhadap turun naik pasaran saham adalah lebih kuat berbanding pada masa yang sama tahun lepas.”
Bagaimana pun, tinjauan itu menunjukkan sehingga dua pertiga rakyat Malaysia menjangkakan tahun yang lebih baik pada 2023 berbanding tahun lepas, walaupun tinjauan positif didapati tidak sepadan dengan keyakinan yang ditunjukkan setahun lalu.
“Trend yang sama berlaku dalam kalangan kumpulan sama Asia dan di Barat,” kata firma itu.
Tinjauan itu menunjukkan bilangan rakyat Malaysia yang optimis mengenai prospek 2023 turun 14 peratus kepada 68 peratus.
Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan semula kadar dasar semalaman (OPR) pada suku pertama tahun ini kerana inflasi dijangka kekal tinggi sepanjang tahun.
Penganalisis meramalkan peningkatan antara 25 hingga 50 mata asas. Kenaikan tahun ini adalah kali kelima BNM menaikkan OPR, dengan yang terbaharu pada November tahun lepas.
OPR kini berada pada 2.75 peratus.
-BTS Media