Oleh Fetty Rara
INFLASI Malaysia melonjak 4.4 peratus kepada 127.9 pada Julai 2022 untuk mencatatkan kenaikan tertinggi dalam tempoh lebih setahun, manakala indeks makanan terus meningkat.
Peningkatan indeks harga pengguna (CPI) yang tertinggi sejak April 2021ini sejajar dengan ramalan median tinjauan Reuters.
Mengumumkan data inflasi Julai dalam satu kenyataan, Jabatan Perangkaan Negara berkata peningkatan inflasi itu juga disebabkan oleh kesan asas yang rendah tahun lepas akibat diskaun bil elektrik daripada lima peratus kepada 40 peratus, mengikut kadar penggunaan yang diberikan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada Julai sehingga September 2021.
Bagi Julai, indeks makanan meningkat 6.9 peratus, justeru merupakan penyumbang utama peningkatan keseluruhan inflasi.
“Selain kumpulan makanan, semua kumpulan lain juga terus mencatatkan peningkatan, kecuali komunikasi yang tidak berubah berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Restoran dan hotel meningkat 5.8 peratus, pengangkutan (5.6%); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (4.0%) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.8%).
Sementara itu, perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus, pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.1%) dan pendidikan (1.2%).
Inflasi teras dan inflasi tanpa bahan api mencatatkan peningkatan sebanyak 3.4 peratus dan 4.2 peratus masing-masing pada Julai 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Bagi perbandingan bulanan, inflasi meningkat 0.4 peratus berbanding Jun 2022.
-BTS Media