GAMBAR ATAS: Ed Yourdon, CC BY-SA 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/2.0>, via Wikimedia Commons
Oleh Yusoff A. Shariff
Kadar inflasi Britain melonjak bulan lalu ke paras tahunan tertinggi sejak 1982.
Perkembangan terbaharu ini menambahkan lagi tekanan kepada menteri kewangan Rishi Sunak untuk menggiatkan usaha membantu isi rumah negara itu yang menghadapi krisis kos sara hidup semakin teruk.
Satu tinjauan oleh Reuters menunjukkan bahawa Sterling jatuh sebanyak 9.1% selepas data itu diumumkan, justeru menyaksikan mata wang British merosot sebanyak 0.4% berbanding dolar Amerika.
Kadar bil tenaga yang melambung merupakan punca utama kenaikan harga pada April, dan mencerminkan kenaikan tarif tenaga terkawal bulan lepas.
Berdepan dengan keadaan ini, Sunak berkata bukan sahaja Britain, malahan negara-negara di seluruh dunia sedang dilanda inflasi yang tinggi.
Kerajaan tidak akan dapat membantu dan melindungi semua daripada cabaran global ini
Menurut beliau kerajaan tidak akan dapat membantu dan melindungi semua daripada cabaran global ini, namun masih memberikan bantuan sebaik yang mungkin.
Sementara itu, aktivis anti-kemiskinan menggesa beliau bertindak segera, bermula dengan menaikkan nilai bantuan kebajikan supaya dapat menandingi tahap inflasi.
Satu kaji selidik yang diterbitkan pada Selasa menunjukkan dua daripada tiga orang di Britain berada dalam kesejukan kerana terpaksa menutup alat pemanas mereka di rumah, manakala hampir separuh mengurangkan pemanduan atau memilih kedai lebih murah, dan lebih satu perempat berkata mereka terpaksa berlapar.
Awal bulan ini Bank of England meramalkan kadar inflasi mencecah lebih 10% dalam dua tiga bulan lagi, dan pelabur menjangkakan kenaikan kadar faedah empat kali sebelum ini sejak Disember lalu.
Dalam pada itu, terdapat tanda-tanda tekanan inflasi selanjutnya memandangkan pihak pengeluar terpaksa berdepan dengan kenaikan harga terbesar pernah dicatatkan.
Sektor pengilang pula telah menaikkan harga sebanyak 14% sepanjang 12 bulan hingga April, iaitu lonjakan terbesar sejak Julai 2008.
-BTS Media