BTS Media

Kesan inflasi semakin mencengkam bagi kebanyakan rakyat

GAMBAR ATAS: BTS Media.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

MALAYSIA melaporkan kadar inflasi tertinggi sejak sedekad lalu pada Mei lepas, dengan pakar ekonomi mengunjurkan peningkatan harga makanan secara berterusan.

Pada Mei, negara mencatatkan peningkatan indeks harga pengguna (CPI) sebanyak 2.8%.

Kenaikan ini didorong oleh inflasi harga makanan yang meningkat ke paras baharu tertinggi sejak November 2011, lapor The Star.

Akhbar itu memetik Profesor Ekonomi Sunway University Dr Yeah Kim Leng berkata bahawa walaupun kenaikan inflasi bahan bakar dan harga makanan merupakan fenomena global yang menyebabkan ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah berdepan dengan kadar inflasi pengguna di atas para 7-9%, namun pengguna di Malaysia belum merasai kesan penuhnya kerana harga masih dikawal oleh kerajaan, termasuk subsidi bagi makanan utama dan bahan bakar.

Bagaimana pun, beliau berkata tekanan inflasi pada ekonomi domestik disebabkan oleh kos import yang tinggi, kelemahan nilai ringgit, dan kekurangan bekalan global beberapa jenis barangan kini semakin serius.

Kadar CPI telah mencecah hingga 2.8%, dan mungkin meningkat lagi menjelang beberapa bulan akan datang. Kenaikan, bagaimana pun, tidak seteruk dialami di negara-negara di mana kerajaan tidak bertindak mengawal harga barangan penting.

Namun demikian, Yeah berkata usaha menampung melalui subsidi adalah sangat mahal dan tidak berbaloi jika harga makanan terus berada di paras tinggi.

Tetapi, dalam keadaan demikian kerajaan tidak mempunyai banyak pilihan, selain bertukar kepada sistem subsidi yang lebih bersasar

Bagi beliau, cabarannya ialah untuk mencari imbangan yang betul bagi beban kenaikan kos di antara kerajaan, pengguna dan pengeluar.

Krisis makanan global yang bakal mencengkam sepatutnya digunakan sebagai pencetus peluang bagi merancakkan pelaburan swasta dalam sektor pengeluaran makanan dan pertanian yang lestari, seperti mana berjaya dilakukan dalam industri kelapa sawit dan getah.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata perbelanjaan subsidi penggunaan sebanyak RM77.3bil setakat ini bagi 2022 adalah yang tertinggi dalam sejarah negara.

-BTS Media

Leave a Comment