Oleh Amira Ismail
Mereka dikurung dan dikunci di tempat dikawal oleh individu bersenjata, dan yang wanita muda diancam dengan rogol jika mereka “gagal menunjukkan prestasi” manakala yang lain dipukul.
Inilah nasib segelintir rakyat Malaysia yang tertipu untuk meninggalkan negara dengan janji pekerjaan bergaji tinggi, tetapi kini mendapati nasib mereka dalam tangan sindiket jenayah pemerdagangan manusia, lapor The Star.
Seorang mangsa lelaki yang enggan dinamakan, berkata dia ditahan bersama 13 lagi rakyat Malaysia di Kemboja.
“Mereka memaksa kami bekerja di pusat panggilan ‘scam’ dalam talian. Jika kami tidak menunjukkan prestasi baik, mereka akan kurung, belasah dan membiarkan kami kelaparan.”
Dia menceritakan demikian ketika dihubungi oleh Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong di Kuala Lumpur pada Khamis (7 April).
Seorang lagi mangsa berkata dia antara 50 rakyat Malaysia yang ditahan oleh sindiket itu.
“Kami dipaksa bekerja sekurang-kurangnya 15 jam setiap hari untuk ‘scam’ orang di seluruh dunia,” katanya, sambil menambah ahli sindiket akan mengancam untuk merogol yang wanita jika tidak mencapai prestasi tugas seperti yang dipaksa lakukan.
Menurut Chong beliau menerima lebih 50 aduan membabitkan kes yang sama sejak Tahun Baharu Cina tahun ini.
“Kami bekerjasama dengan Kementerian Luar dan pihak kedutaan di luar negara untuk membawa mangsa pulang dengan selamat,” katanya sambil menggesa orang ramai agar berhati-hati apabila ditawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan di luar negara.
-BTS Media